Ogos yang paling menyedihkan
Seumur hidup aku, sudah 23 kali Ogos telah aku lalui dan
percaya atau tidak, Ogos yang ke 23 kali inilah yang paling menyedihkan,
memilukan, memeritkan dan membuat aku menangis. Jarang-jarang tiga peristiwa
tragis berlaku dalam bulan yang sama tetapi percaya atau tidak, ianya terjadi.
1. “Not all
heroes wear cape”
Kata-kata ini merupakan kata-kata yang
sangat popular di kalangan pengguna internet apabila terdapat individu yang
membuat kebaikan dan kebaikannya itu dirakam tanpa disedari dan ditular.
Merujuk kepada kata-kata ini, teringat aku akan allahyarham ayah aku yang sudah
genap setahun meninggalkan aku. Sejujurnya semasa arwah masih hidup, aku tidak
rapat dengan arwah dan aku seringkali mengelak daripada menegur atau bermesra
dengan arwah. Arwah merupakan jenis yang tidak menunjukkan apa yang dialaminya
dan sentiasa memendam apa yang dirasainya. Arwah sentiasa sibuk dan jarang
berkomunikasi dengan aku. Walaupun ketika musim perayaan, arwah jarang ada
bersama keluarga. Nak dijadikan cerita, aku tidak merasakan kasih saying
seorang ayah walaupun hakikatnya aku ada. Sewaktu arwah meninggal dunia pada 8
Ogos 2018, percaya atau tidak perasaan sedih itu hanya sedikit sahaja di dalam
jiwa ini. Namun begitu, banyak perkara sebenarnya yang telah dilakukan oleh
arwah yang tidak aku tahu yang kini membuat aku mengalirkan air mata. Selepas
setahun arwah pergi, aku serba sedikit faham mengapa arwah berbuat demikian dan
kini apa yang aku mampu buat hanyalah terus berdoa agar arwah ditempatkan
dikalangan orang yang beriman.
2. Tamat sudah dua kehidupan mayaku
K-drama merupakan antara kegilaan ramai dan
aku merupakan salah seorang daripadanya. Tidak pasti sama ada orang lain
merasakan apa yang aku rasa tetapi apabila aku menonton k-drama, terasa seperti
aku watak utama di dalam cerita tersebut dan ianya membuat aku sangat gembira
setiap kali aku menonton k-drama. Kebiasaannya aku akan menonton satu drama
dalam satu masa tetapi bulan ogos lepas aku membuat keputusan untuk menonton
dua k-drama yang telah aku simpan lama di dalam komputer ribaku. Betullah apa
yang orang cakap, kegembiraan tidak akan berkekalan. Hanya dalam masa 12 hari
sahaja, kedua-dua k-drama tersebut telah aku habiskan. Percaya atau tidak,
menghabiskan dua drama ini telah menambahkan lagi kesedihan yang aku cuba
hilangkan.
3. Cuti sudah habis !!!
Sedih yang ini bukan sahaja aku yang rasa,
malah turut dirasai oleh ratusan ribu atau mungkin lebih, aku tak pasti.
Sebagai seorang pelajar UiTM, semua tahu yang bulan Ogos merupakan bulan terakhir
kita bercuti. Memandangkan aku mula bercuti pada pertengahan bulan Julai, aku
hanya dapat merasai cuti semester selama sebulan lebih. Pelbagai perkara yang
ingin aku lakukan tetapi disebabkan waktu cuti yang terhad, tidak semua yang
ingin aku lakukan dapat aku lakukan. Namun disebalik perasaan sedih itu, aku
rasa bagus juga cuti sekejap sebab setiap detik yang berlalu itu, aku cuba
habiskan sebaik mungkin bersama individu-individu yang penting dalam hidup aku.
Secara
keseluruhannya, Ogos kali ini memang menyedihkan dan hambar bagi aku. Tetapi
sedih sangat pun tak bolah kan sebab selagi bumi terus berputar pada paksinya,
selagi jam masih berdetik, selagi jantung mampu bernafas, selagi itulah
kehidupan perlu diteruskan. Aku harap bulan September ini tak sesedih bulan
Ogos. -Jumpa lagi-

Comments
Post a Comment